Powered by Blogger.

AhIan WasahIan

Mujahideenz.

Allah | Satu

Bila Cinta putus. Bila Cinta Ditolak.

>> Wednesday 14 December 2011

 
Cinta secara umumnya dipandang indah oleh manusia. Malah, ada yang terlalu taksub dengannya. Anda boleh panjang-panjangkan leher anda menjengah ke kedai-kedai buku Novel melayu, dan anda akan melihat lambakan karya yang meletakkan nama cinta pada tajuk buku. Hingga cerita-cerita Islamik pun temanya cinta.

                Cinta digambarkan mengasyikkan, alam yang penuh bahagia, dan amat manis. Gambaran-gambaran indah ini menyebabkan kebanyakan manusia terburu-buru dalam bercinta. Sedangkan sebenarnya, cinta hanyalah satu sub-alam kepada alam yang sebenar. Cinta masih berkongsi realiti alam yang sebenar. Hukum alam adalah sebentar anda akan berada di atas, dan sebentar anda akan berada di bawah. Cinta berkongsi hukum yang sama.

Ada Masa, Allah Akan Menguji.

Ada masa, Allah akan menguji anda dengan memutuskan alam indah anda itu. Cinta anda ditolak. Atau yang sedang bercinta, putus. Kejadian-kejadian ini bukanlah satu fenomena asing dalam kehidupan manusia. Dan kejadian buruk berhubungan dengan kes putus cinta, cinta ditolak ini juga banyak berlaku dalam komuniti kita, masyarakat kita.

                Ada yang mengambil keputusan untuk terus membujang, ada yang mengambil keputusan berpindah ke tempat yang jauh dari tempat dia menjalin cinta, ada yang mengambil keputusan berfoya-foya melupakan segalanya, malah ada yang mengambil jalan buruk dengan membunuh bekas pasangannya atau orang yang dilamarnya kerana terlalu marah atau cemburu, malah, ada juga yang mengambil keputusan membunuh diri sendiri.

                Putus cinta, Cinta ditolak, seakan-akan mengurangkan kewarasan akal seorang manusia.

                Kenapa?

Persiapan Yang Tiada.

Cinta memang indah. Tetapi berapa ramaikah manusia yang mempersiapkan dirinya untuk bercinta, dicinta dan mencinta? Berapa ramaikah manusia yang bertanya kepada dirinya, bagaimana dia hendak bercinta? Dengan cara apakah dia hendak bercinta? Berapa ramaikah manusia yang memahami apakah itu sebenarnya cinta? Berapa ramaikah manusia bermuhasabah, kenapa dia bercinta?

Tiadanya matlamat yang jelas, dengan mengharapkan mimpi-mimpi indah di alam percintaan semata-mata, itu semua bukan setakat mendorong manusia ke jalan maksiat ketika bercinta, tetapi seakan telah menyediakan satu gaung yang amat dalam untuk manusia membuang kewarasannya.

        Perlu difahami apakah itu cinta.

                Perlu menyedari realiti kehidupan. Tidak semestinya cinta kita akan diterima.

                Sekiranya diterima, perlu pula memahami bagaimana hendak bercinta yang sebenarnya.

                Bukan semberono sahaja mengikut rasa dan kata jiwa.

                Jika tidak, bila apa-apa berlaku, memang anda akan terjerumus ke lembah celaka.

Secebis pengalaman diri

Saya, sebagai manusia yang masih muda umurnya, juga jatuh cinta. Cuma mungkin, cinta saya ini agak pelik gayanya. Sebab saya tidak pernah menghubungi perempuan yang saya suka ketika saya ingin mendapatkannya. Apa yang saya buat adalah, banyak buat background check dengan sesiapa yang mengenalinya, lebih-lebih lagi kepada keluarganya sendiri. Saya juga bersilaturrahim dengan ayah dan ibunya, adik beradik lelakinya. Sambil itu berusaha membina karier, peribadi diri, kematangan, dan kefahaman agama.

     Dalam melakukan semua itu, saya sentiasa berfikir: Bagaimana agaknya kalau tak dapat dia?

                Maka, persediaan minda dan rohani telah saya utamakan. Sebab saya memahami fenomena cinta yang kita tidak dapat duga keadaannya. Alangkan pasangan suami isteri yang telah berkahwin pun boleh bercerai, apatah lagi pasangan yang bercinta tanpa apa-apa ikatan? Kenapa mesti kita anggap alam cinta  itu indah semuanya hingga ke penghujung? Mengapa kita perlu fikir yang cinta kita akan diterima dan tidak akan ditolak?

                Dan jangan kita fikir, bila cinta kita diterima, kita akan bahagia pula selama-lamanya.

                Di tengah percintaan itu, kita akan diuji. Di tengah hubungan itu, kita akan diuji lagi. Semasa bertunang, kita akan diuji. Semasa berkahwin, kita akan diuji lagi. Jangan fikir yang indah-indah sahaja.

                Jadi, sentiasa memahami realiti adalah ubat yang sebenarnya. Sentiasa bersedia untuk apa yang terburuk yang mungkin akan berlaku. Sambil itu, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan hubungan kita terjamin, jadi, kekal.

                Tetapi pada masa yang sama, tidak kita lupa berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan yang terbaik.

                Maka, pada saya, untuk mencegah keburukan apabila cinta kita tidak kesampaian, putus, adalah dengan kita mempersiapkan diri kita, mental dan rohani untuk bercinta. Bila bercinta pula, bercintalah dengan cara yang betul, sebagaimana cinta  yang telah syara’ tetapkan untuk kita. Tiadalah kita melanggar batas-batas yang telah ditetapkan Islam untuk bercinta. InsyaAllah, jika kita benar dalam cinta  kita, nanti bila tiba saat Allah hendak menggoncang kehidupan cinta kita, kita tidak akan melakukan kerja bodoh untuk melarikan diri dari masalah cinta kita itu.

“PAUSE”

Orang akan bertanya kepada saya,

                “Itu orang yang dah tahu dia kena sedia sebelum bercinta. Bagaimana dengan orang yang tak tahu, kemudian dia bercinta, lalu cintanya putus. Bagaimana hendak menghadapinya dalam keadaan sedemikian?”

                Untuk orang begini, saya hendak ajak mereka bermuhasabah diri. Sebelum anda hendak berbuat apa-apa, sila tekan butang ‘pause’ dahulu. Kita tengok, jalan apa yang kita hendak ambil.

                Hendak ikut gaya macam telenovela? Melarikan diri keluar negara? Bagaimana dengan kerja anda? Bagaimana dengan keluarga yang masih menyayangi anda? Bagaimana dengan sahabat karib yang baik dengan anda?

                Hendak membunuh bekas pasangan cinta anda kerana mengikut konsep: Kalau aku tak boleh dapat dia, orang lain pun tak boleh dapat dia? Bagaimanakah anda hendak berhadapan dengan polis selepas itu? Bagaimana anda hendak meneruskan kehidupan yang bahagia selepas anda dicop sebagai penjenayah? Bagaimana anda hendak berpuas hati jika hayat anda berakhir di tali gantung? Lebih teruk lagi, bagaimanakah anda hendak berdiri di hadapan Allah nanti?

                Hendak kelar urat nadi dalam tandas? Hendak terjun bangunan? Adakah kerana anda putus cinta dengan seorang manusia, anda hendak memutuskan cinta dengan Tuhan anda yang sentiasa mencintai anda selama ini? Adakah anda hendak memutuskan cinta dengan ibu bapa yang penat menjaga anda sehingga besar? Dan apakah makna kehidupan anda yang mahal ini, jika anda gadaikannya hanya untuk satu cinta kepada manusia biasa? Apakah tiada manusia lain?

                Lihat. Semua jalan yang hendak diambil, kelihatan seperti penyelesaian, tetapi hanya melarikan diri sahaja, semuanya tidak bermakna. Tidak bermakna untuk diri anda, dan tidak bermakna untuk kehidupan anda. Sia-sia semuanya.

Rawatilah Hati. Kentalkan Ia

Marilah kita di dalam bercinta ini, melihat kembali kepada kekuatan jiwa.

                Solat kita bagaimana? Al-Quran kita bagaimana? Akhlak kita bagaimana? Apakah kita ini menjaga agama? Apakah kita ini meninggalkan laranganNya baik dalam bercinta atau di luar percintaan kita? Apakah kita telah berusaha dengan cara yang dibenarkan di dalam agama dalam usaha mendapatkan pasangan yang kita suka?

                Kadangkala, kita tidak membina hati kita.

                Sebab itu hati kita mudah pecah apabila diuji dengan cinta.

                Bahkan, silap haribulan, apa itu ‘cinta yang sebenar’ pun tidak kita ketahui.

                Bagaimana mahu ‘bercinta dengan cinta yang hakiki’?

Tuan Kepada Cinta, yakni Allah SWT pun tidak kita rapati. Bagaimana kita boleh kata kita bercinta dengan sebenar-benar cinta?


Penutup: Jadi bila anda putus cinta, bila cinta anda ditolak

Justeru, bila anda putus cinta, cinta anda tidak diterima, pandanglah ke hadapan. Masih ramai manusia yang mencintai anda. Malah, Allah tidak pernah putus cintaNya kepada anda. Kenapa, bila anda putus cinta dengan seorang manusia, anda hendak memutuskan cinta kepada segala-galanya? Secara tidak langsung, anda telah memburukkan nama cinta itu sendiri. Cinta anda, hakikatnya langsung tidak sejati. Cinta anda, hanya cinta murahan, jika demikian anda melayan cinta.

                Hiduplah, dan hadapilah. Cinta yang terputus itu, yang tertolak itu, mungkin teguran halus daripada Allah SWT. Mungkin Allah hendak menyatakan si dia bukan jodoh anda, mungkin juga Allah hendak anda muhasabah balik kesilapan-kesilapan yang berlaku sepanjang anda bercinta, mungkin juga Allah hendak memberikan anda sesuatu yang lebih baik. Kenapa anda tidak boleh mendidik diri untuk bersangka baik kepada Allah? Sedangkan Allah SWT selama ini baik dengan anda, memberikan anda kehidupan dan nikmat tidak terbilang banyaknya?

                Dia itu tidak zalim kepada hamba-hambaNya, melainkan hamba-hambaNya lah yang menzalimi diri mereka sendiri.

                Maka, marilah kita sama-sama muhasabah kembali. Jangan terburu-buru mengikut emosi. Bergeraklah dengan akal yang telah dianugerahkan kepada kita ini. Bergeraklah mengikut apa yang Dia telah tetapkan buat kita. Cinta itu besar maknanya. Jangan kita kecilkan hanya kepada cinta dua manusia sahaja. Dunia ini luas, jangan kita sempitkan dengan akal pendek kita.

                Bergeraklah! Bersedia untuk bercinta, dengan cinta yang sebenarnya!

~ seorang hamba,
Hilal Asyraf
Website: http://langitilahi.com

--------------------------------------------------------------------


Cinta. Hanya sub kepada alam.
 Share

0 comments:

Post a Comment

Syukran :)

Jazakallah.

Ini yang kita inginkan.

Halwa uzunun :D

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP